Dasar Program Gmail

Dasar Program Gmail memainkan peranan penting dalam mengekalkan pengalaman yang positif untuk semua orang yang menggunakan Gmail. Pastikan anda menyemak semula dari semasa ke semasa kerana dasar ini mungkin berubah. Sila rujuk Syarat Perkhidmatan Google juga untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Spam dan Mel Pukal

Jangan gunakan Gmail untuk mengedarkan mel spam atau mel komersial yang tidak diminta.

Anda tidak dibenarkan menggunakan Gmail untuk menghantar e-mel yang melanggar Akta CAN-SPAM atau undang-undang antispam yang lain; menghantar e-mel tanpa kebenaran melalui pelayan terbuka pihak ketiga; atau mengedarkan alamat e-mel orang lain tanpa persetujuan mereka.

Anda tidak dibenarkan mengautomatikkan antara muka Gmail untuk menghantar, memadamkan mahupun menapis e-mel dengan cara mengelirukan atau memperdaya pengguna.

Jangan lupa bahawa takrifan anda berhubung mel “tidak diminta” atau “tidak diingini” mungkin berbeza daripada tanggapan penerima e-mel anda. Gunakan pertimbangan anda apabila menghantar e-mel kepada ramai penerima, meskipun penerima itu telah memilih untuk menerima e-mel daripada anda. Apabila pengguna Gmail menandai e-mel sebagai spam, mesej yang anda hantar pada masa hadapan berkemungkinan tinggi turut dikelaskan sebagai spam oleh sistem antipenyalahgunaan kami.

Penciptaan dan Penggunaan Berbilang Akaun Gmail

Jangan membuat atau menggunakan berbilang akaun untuk menyalahgunakan dasar Google, melangkaui had akaun Gmail, memintasi penapis atau juga menjejaskan sekatan pada akaun anda. (Contohnya, jika anda telah disekat oleh pengguna lain atau akaun Gmail anda telah dilumpuhkan kerana penyalahgunaan, jangan buat akaun pengganti yang menjalankan aktiviti serupa).

Anda juga tidak dibenarkan membuat akaun Gmail dengan cara automatik atau membeli, menjual, mendagangkan atau menjual semula akaun Gmail kepada pihak lain.

Perisian hasad

Jangan gunakan Gmail untuk menghantar virus, perisian hasad, cecacing, kecacatan, kuda Troy, fail rosak atau sebarang item lain yang bersifat memusnah atau memperdaya. Selain itu, jangan edarkan kandungan yang merosakkan atau mengganggu pengendalian rangkaian, pelayan atau prasarana lain milik Google atau pihak lain.

Penipuan, Pancingan Data dan Amalan Mengelirukan yang lain

Anda tidak boleh mengakses akaun Gmail pengguna lain tanpa kebenaran yang jelas daripada mereka. Jangan gunakan Gmail untuk menipu, mengelirukan atau memperdaya pengguna lain agar berkongsi maklumat atas dalih yang dibuat-buat.

Jangan memancing data pengguna seperti maklumat log masuk, kata laluan, butiran kewangan atau nombor pengenalan kerajaan atau menggunakan Gmail sebagai sebahagian daripada skim untuk menipu pihak lain.

Keselamatan Kanak-kanak

Google mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap imejan penderaan seksual kanak-kanak. Jika kami mendapat tahu tentang kandungan sedemikian, kami akan melaporkannya kepada National Center for Missing and Exploited Children (Pusat Kebangsaan untuk Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi) seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Kami mungkin turut mengambil tindakan disiplin, termasuk penamatan, terhadap Akaun Gmail milik mereka yang terlibat.

Hak Cipta

Hormati undang-undang hak cipta. Jangan melanggar hak harta intelek pihak lain termasuk paten, tanda dagangan, rahsia perdagangan atau hak proprietari lain. Anda juga tidak dibenarkan menggalakkan atau mendorong pihak lain melanggar hak harta intelek. Anda boleh melaporkan pelanggaran hak cipta kepada Google dengan menggunakan borang ini.

Gangguan

Jangan gunakan Gmail untuk mengganggu, menakut-nakutkan atau mengugut orang lain. Sesiapa yang didapati menggunakan Gmail untuk tujuan ini mungkin akan dilumpuhkan akaunnya.

Aktiviti Haram

Pastikan undang-undang dipatuhi. Jangan gunakan Gmail untuk menggalakkan, mengatur atau melibatkan diri dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Penguatkuasaan Dasar

Anda boleh melaporkan penyalahgunaan dengan menggunakan borang ini. Google boleh melumpuhkan akaun yang didapati melanggar dasar ini. Jika akaun anda dilumpuhkan dan anda percaya tindakan ini suatu kesilapan, sila ikut arahan pada halaman ini.